Showing posts with label Great People. Show all posts
Showing posts with label Great People. Show all posts

Tuesday, July 19, 2011

The Priceless Pearl

15 Sya'ban yang lalu meninggalkan kenangan pahit bagi Islam dan mereka yang mengenal YB Dr.Lo'Lo' .. Kembalinya ke rahmatullah setelah bertahun berjuang melawan sakit kanser.. adalah suatu kehilangan mutiara yang cukup berharga. Walaupun saya tidak mengenali Allayarhamah secara peribadi, namun kedekatan dengan anak perempuan beliau, yang dulu senior saya di sini merangkap juga naqibah usrah saya, membuatkan hati turut merasai kehilangan seorang srikandi Islam dan turut berdukacita. Semoga Kak Kinah sekeluarga tabah dan kuat menghadapi ujian ini. Allah lebih menyayanginya. Doa rakyat mengiringi pemergian seorang mujahidah Islam ini..insyaAllah. Semoga arwah Dr.Lo'Lo' ditempatkan bersama para syuhada' dan para solehin.. ameen, ameen, ameen ya Allah.


Ingin berkongsi tulisan Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin tentang Dr.Lo'Lo'.. Sungguh terharu membacanya..


"Dr.Lo'Lo', Sekadar Yang Saya Kenali"


Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebahagian bilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini. Hidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang. Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya.


Apabila saya menerima berita kematian YB Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, perasaan saya menjadi sugul. Saya teringatkan sikap prihatin beliau kepada saya sepanjang saya mengenalinya. Paling sayu, saya teringat permintaan beliau beberapa minggu lepas ketika saya menziarahi beliau dalam keadaan yang amat uzur. Beliau meminta saya menulis sebuah puisi untuknya. Ternyata saya tidak menunaikan harapan itu sehingga beliau meninggal. Padahal, saya telah sebut ‘insyaAllah’.


Hari ini jenazah beliau dikebumikan, malang sekali lagi saya tidak dapat hadir kerana ada viva student di USM. Namun doa saya untuknya sejak saya mendengar kematiannya. Saya juga harap tulisan ini dapat memberikan manfaat yang lebih dengan saya merayu kepada pembaca

nya agar berdoa kepada Allah untuk diberikan rahmat dalam keampunan kepada Lo’ Lo’ Ghazali, hamba Allah yang telah pulang ke kehidupan yang hakiki.


Saya ingin mencoret sedikit mengenai beliau dengan kadar sedikit yang saya kenal. Saya mulakan dengan apa yang Nabi s.a.w nasihati kita:


“Sesiapa dalam kalangan kamu yang terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah dia berkata: ‘aku menilainya demikian, Allah jua yang menjadi penilainya yang sebenar, aku tidak akan memuji sesiapa atas nama Allah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Ya, hanya Allah yang mengetahui hakikat kita. Kita menilai apa yang zahir, Allah jua mengetahui apa yang batin. Mungkin apa yang ada di sisi Allah lebih baik dari apa yang kita sangka dan tahu. Demikian juga sebaliknya.


Peringatan Jawatan Mufti


Saya bukan terlalu mengenali Dr Lo’ Lo’. Cuma ada beberapa coretan sekadar yang saya kenal beliau. Saya mula mengenali Dr Lo’ Lo’ sejak sebelum saya menjadi Mufti Perlis lagi. Beliau menghadiri beberapa majlis ucapan saya. Kali terakhir seingat saya di UIA, semasa saya berforum.

Apabila saya ditawarkan menjadi mufti pada tahun 2006, Dr Lo’ Lo’ menghantar email mengingatkan saya tentang bahaya jawatan tersebut. Sebagai anak bekas Mufti Perak, beliau menceritakan pengalamannya. Saya masih simpan peringatan itu.


Antara yang beliau sebut

“..saya juga seorang manusia yang dhaif tetapi saya ingin berkongsi pengalaman kerana pernah hidup sebagai anak mufti dan berkongsi pahit maungnya serta cabaran seorang mufti bagi kerajaan yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya. Banyak kali arwah bapa saya bersungut dan menyatakan kesal kerana nasihat dan pandangannya tidak dipedulikan, keputusan majlis fatwa yang dianggotainya dibuang dalam tong sampah, bagaimana payahnya berhadapan dengan sultan-sultan yang kehidupan mereka dikelilingi dengan pelbagai adat dan kebiasaan yang tidak selaras dengan Islam. Itu belum kira kerenah MB, exco-exco dan YB-YB lagi…itu cerita 30 tahun lalu, saya percaya kini cabaran untuk seorang mufti kerajaan adalah lebih hebat lagi. Saya berdoa agar Dr Asri dipandu untuk memilih keputusan yang terbaik dunia dan akhirat”.


Itulah antara kandungan email beliau. Lahir dari jiwa yang ikhlas terhadap saya dan naluri yang prihatin terhadap agama. Saya merenung kata-katanya ketika itu. Kali ini apabila saya membaca sekali lagi, saya dapat rasakan indahnya kejujuran yang terkandung dalam nasihat itu. Ya, sering kali sesuatu lebih bernilai kita rasakan, apabila empunya telah pergi. Semoga menimbang kata-kata nasihatnya itu sebagai himpunan amalan soleh beliau.

Apabila saya menjadi Mufti Perlis, saya agak terputus dengan beliau. Hanya sekali-sekala beliau bertanya beberapa perkara. Mungkin beliau rasa ketika itu saya rapat dengan pemimpin UMNO.


Selepas Mufti


Apabila berhenti dari jawatan Mufti, pada hari yang berikutnya saya terus ke UK. Di UK, saya sempat bertemu dan berhubung baik dengan anak beliau Saudara Fawwaz yang ketika itu tinggal Manchester. Layanan baik Fawwaz kepada saya dan keluarga ketika melawat dan berceramah di Manchester tidak dapat saya lupakan. Ini menjadikan kembali saya mengingat sikap baik ibunya kepada saya.


Apabila pulang ke Malaysia, kemudian berlaku peristiwa saya ditahan JAIS dan ke mahkamah, ramai pemimpin politik dan NGOs yang hadir. Dr Lo’ Lo’ yang ketika itu uzur juga turut hadir ke mahkamah di Gombak. Sempat saya bercakap dengan beliau. Saya ingat lagi, beliau kata kepada saya:


“Ini ada hikmahnya, ujian dan cabaran, Allah mahu ustaz memimpin rakyat, turut ke medan, bersama-sama mengubah keadaan yang ada”.


Saya diam. Saya akur. Saya tahu beliau jujur. Hati nuraninya yang sayangkan kebaikan dan bencikan kezaliman itu tidak dapat disembunyikan sekalipun di sebalik tubuh yang uzur. Selepas hari itu, agak kerap juga kami bertanya khabar.


Masuk UMNO


Kadang-kala beliau bertanya saya pandangan dalam pelbagai isu agama. Beliau fahami pendirian saya. Beliau saya rasa suka dengan cara apa yang saya faham mengenai beberapa perkara dalam Islam ini. Apabila timbul berita saya akan masuk UMNO, Dr Lo’ Lo’ menghubungi saya dengan tegas. Kata beliau:


“Janganlah ustaz tambahkan sakit saya dengan berita-berita yang macam ini. Saya pernah teramat kecewa apabila Anwar Ibrahim masuk UMNO. Saya harap ustaz tidak mengulangi kesilapan itu. Saya akan amat kecewa jika ustaz membuat tindakan yang sama”.


Saya meminta beliau memberikan masa agar spekulasi itu berakhir lagi dua tiga hari. Beliau terus mengingatkan saya agar jangan tersilap langkah. Keesokannya, barangkali beliau mendengar desus-desas itu makin kuat, maka beliau sms kepada saya dengan tegas, katanya:

“mati hidup semula saya tidak akan mempercayai ustaz lagi jika ustaz masuk UMNO. Apakah ustaz takut kepada cabaran di dunia ini? Atau mengharapkan kedudukan di dunia sehingga sanggup hendak masuk UMNO? Jika ustaz tidak mahu masuk PAS pun, janganlah masuk UMNO”.


Saya simpati dan rasa bersalah memandang beliau uzur. Saya terus bercakap dengannya dengan memberikan jaminan bahawa apa yang beliau khuatiri itu insyaAllah tidak berlaku. Saya beritahu bahawa pimpinan PAS lain, khusus Ketua Dewan Ulama PAS juga telah bercakap dengan saya dan memberikan nasihat. Namun, apabila 40 orang ulama muda masuk UMNO, Dr Lo’ Lo’ sekali lagi berhubung dengan saya dan berkata:


“Tergamak ustaz membiarkan sahabat-sahabat ustaz masuk UMNO, sedangkan saya ini bersusah payah hendak memastikan mereka yang berpegang dengan manhaj al-Quran dan as-Sunnah masuk ke dalam PAS. Jika Tuan Guru Nik Aziz tidak ada nanti, macam manalah perjalanan PAS ini. Ini, ustaz pula biarkan kawan-kawan masuk UMNO”.


Saya diam. Ada perkara yang saya tahu yang mungkin beliau tidak tahu. Begitulah sebaliknya. Apa pun, saya amat berterima kasih, sikap beliau yang sentiasa prihatin kepada perkembangan Islam dan masa depan dakwah. Beliau seorang serikandi, seorang mujahidah, seorang yang jujur dengan keyakinannya.


Kritik PR


Saya tahu, ya kadang-kala apabila saya mengkritik tokoh utama PR, Dr Lo’ Lo’ kurang selesa. Dia akan sms melahirkan ketidakpuasan hatinya. Kadang-kala bahasanya ‘tegas’. Saya sering tersenyum apabila membaca smsnya. Ya, bukan semua perkara kita dapat sama dan seiya sekata. Namun, yang pasti ia adalah kata-kata yang datang dari seorang yang prihatin.

Namun, beliau lama-lama biasa dengan sikap saya yang memberikan pandangan kepada kedua belah pihak. Sebelum muktamar PAS beliau memohon agar saya mewar-warkan semula artikel lama saya 'Ulama atau professional Jadi Pemimpin' . Beliau kata, beliau ingin meminta supaya Harakah menyiarkannya semula. Saya tahu aliran pemikiran yang ingin ramaikan professional dalam kepimpinan PAS.


Ziarah Hospital


Apabila saya mendapat berita beliau amat uzur dan berada dalam keadaan kritikal di hospital, saya hubungi Fawwaz. Saya pohon untuk menziarahinya. Saya pergi dengan beberapa orang sahabat, sebahagian mereka ustaz-ustaz. Dr Lo’ Lo’ meminta untuk hanya saya sahaja yang masuk dahulu. MasyaAllah, saya melihat seorang serikandi mujahidah dalam kedaan yang uzur terbaring di katil. Wajahnya sudah kelihatan bengkak. Pun, begitu masih lagi dengan pakaian muslimahnya. Beliau menangis ketika itu. Dalam celahan itu saya mendengar indahnya kata-kata beliau:

“ustaz, saya bimbang saya tidak dapat menjadi hamba Allah yang baik”.


Kata-kata itu menusuk ke dalam jantung saya bagaikan cahaya ruhi yang menyelinap masuk ke dalam urat nadi. Ia adalah kata-kata yang lebih murni dari segala lafaz seni, kata-kata yang lahir dari nurani insani yang mendambakan kasih-sayang Allah. Kata-kata yang tidak lahir di saat- demikian melainkan dari jiwa yang sentiasa berhubungan cinta dengan Allah.


Demikian penilaian saya. Hakikat yang sebenar kembali kepada Allah.


Kemudian, sempat beliau berpesan kepada saya untuk terus memberikan pandangan kepada PAS dan beliau bersyukur segala usaha beliau dan sahabat-sahabatnya mula melihatkan hasil dalam PAS. Beliau meminta saya tuliskan sebuah puisi untuk beliau. Saya berjanji insyaAllah. Nampaknya, puisi itu akan lahir selepas pemergian beliau.


Ustaz Sampul


Selepas habis berbicara dengan saya, beliau mengizinkan sahabat-sahabat yang bersama saya masuk. Dalam keuzuran yang amat sangat itu, beliau masih sempat memberikan nasihat. Antara yang beliau kata;


“Maaflah saya ingin sebut, ustaz-ustaz ini jangan asyik fikirkan sampul sahaja. Ramai yang rasa selesa, hanya dok berkuliah dalam masjid, selepas itu seronok dapat sampul duit tapi tidak mengambil tahu apa yang berlaku kepada umat; khususnya anak-anak muda kita kat luar sana”.


Ya, itulah kata-kata beliau. Ia amat benar. Itu penyakit yang menimpa ramai yang memakai gelaran ustaz atau‘pendakwah’. Pahit yang terpaksa diakui, bukan sedikit yang fikirannya berlegar kepada wang dalam sampul yang akan menjadi habuan selepas kuliah atau ceramah. Bukan salah. Namun, apabila itu dijadikan buruan, maka ramai yang mengelak diri dari arus dan tribulasi perjuangan. Kata-kata Dr Lo’ Lo’ itu terbit dari hati nurani seorang daiyah (pendakwah). Bukan singkat masa beliau menelusuri pengalaman dan perjuangan.


Ya, beliau banyak di medan politik. Sebahagian ijtihad siyasi dan pandangan politiknya mungkin berbeza dengan saya. Namun, saya tetap hormati jasa dan sumbangannya. Zahir pada kehidupan sebagai seorang muslimah dan mujahidah. Berjuang membela keyakinannya mengenai Islam dan keadilan. Sebagai seorang sahabat dan insan yang masih hidup atas bumi ini, saya hanya mampu berdoa untuknya agar dilimpahi rahmat dan keampunan, kemudian meneruskan perjalanan hidup ini sehingga sampai ke destinasi seperti mana beliau pun telah menamatkannya.





------Juga ingin berkongsi tulisan dari Dr.Harlina Halizah Siraj.. Yang turut menitiskan air mata membacanya…


Dr.Harlina (2nd right) with Dr.Lo'Lo' on the bed.

Dr.Lo'Lo'.. 'the pearl' that lived up to her name


By: Dr.Harlina


Al-Fatihah for my dearest sister YB Dr Lo' Lo' Ghazali....


Last night at 10.38pm, 17 July 2011 – I was informed of the departure of a very beloved and dear sister, Dr. K.Lo' Lo' Ghazali.


I would like to extend my deepest condolences to her family members and PAS for the loss. In fact, Malaysia has lost one of the few `serikandi' (outstanding women) today!


An exceptionally special and unique person, she had lived a very fulfilled life that made her name, which means `pearl' in Arabic, glows forever in the hearts of everyone who have known her personally as well as those who have ever heard of her.


A dedicated servant of Allah, an ardent follower of Prophet Muhammad SAW, a special daughter and sister to her family, a loving wife to Prof Dr Aminuddin for more than 30 years, a wonderful mother to her children & grandchildren, a caring medical doctor whose healing hands had touched the lives of many, a committed politician who served her constituency with guts & determination, a very good & loyal friend, an outstanding Muslimah role model – those are merely a small fraction of what this pleasant woman had always been and will always be.


K.Lo' Lo', I am surely going to miss your beautiful smiles, sweet voice and soaring spirit. Yet I know, you will be looked after by Allah SWT now, who had been your only destination all these while.


K.Lo' Lo', I recalled how worried you were over the `little' deeds that you could only manage to do – when I visited you three weeks ago. And I will always remember hugging you then, and whispered these words to your ear : ` Of course, it's quite natural to feel that what you've done are not enough. But let me be your witness in front of Allah on the Day of Judgement, that you have done so much for so many people!'


Good bye my dear sister, for you deserve this ultimate rest and may you harvest all the fruits of your deeds. Jazakallah for everything that you have done. You had left behind a legacy for us to emulate and a benchmark quite challenging to match.


We are just waiting our turns to follow you – sooner or later.


I pray to Allah SWT to grant you with His Jannatul Firdaus.


I pray to Allah SWT to provide me strength to follow your footsteps in serving the ummah.


I pray to Allah SWT to bestow me with courage and determination which had been your trademark all thse while.


Till we see you again, in Jannah InsyaAllah – as neighbours, I hope and I pray....Amin


-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pemergian yang memberi peringatan. Melihat secebis rakaman pengkebumian Allahyarhamah, yang diiringi doa ribuan manusia, menggetarkan hati dan seluruh urat nadi. Bagaimana pula dengan pengakhiran diri ini ya Allah...

Allahu.. ighfirly ya Allah.. ampunkan segala dosa-dosaku, tetapkan hatiku yang sering berbolak-balik.. tetapkan aku pada jalanMu.. Aku mohon pada-Mu ya Allah, Engkau matikan kami dalam husnul khotimah...ya Rabbi, ya Rabbi..



Saturday, August 21, 2010

Selamat Ulang Tahun Ayahandaku Tersayang

Tanggal 19 Ogos dua hari yang lalu, ayahandaku tersayang genap usia 62 tahun. Suatu usia yang orang lain seusia ayahku, sudah dikelilingi cucu.. Ayahku pun apa kurangnya hehe..alhamdulillah, ada 2 orang menantu perempuan, ada 4 orang cucu; satu lelaki, 3 perempuan. Cuma, orang lain mungkin sudah tidak bekerja...bermain atau menjaga cucu-cucu. Tapi ayahku, ya, sudah pencen, namun masih menyambung kerja lain untuk mendapat sumber tambahan selain diundang menjadi Imam tetap di masjid dekat rumah kami. Tapi kata ayah, dia memang bosan kalau tinggal sendiri rumah, kalau takde kerja nak buat.

Allah, Engkau menjadi saksi, kalau aku tiba-tiba berubah emosi mendadak, dari gembira teramat ke sedih yang sangat..sebabnya tidak lain dan tidak bukan, kalau di saat itu yang terlintas di fikiran aku adalah keluargaku, khususnya mak dan ayahku tercinta. Sungguh, melihat dan menginat jerih perih mereka memerah keringat dan tulang empat kerat di usia sebegini demi kami anak-anak tercinta, saya berasa seakan mahu berhenti belajar sekarang juga dan meminta mak ayah saya berhenti kerja. Cukuplah. Sudah hampir mencecah 40 tahun ayah berkerja demi kami.. Namun apa aku boleh buat, kalau nak kerja pun apalah sangat selagi belum ada ijazah di tangan. Ni yang tak sabar-sabar nak cepat-cepat habiskan pengajian di sini, supaya dapat cepat kerja dan boleh minta mak ayah rehat.. Tak payah kerja la mak,ayah.. ngah dah boleh sara mak ayah.. Bestnya kalau boleh cakap macam tu kat mak ayah...

Hmm.. selama belajar, banyak masa habis kat asrama, jadi habis belajar ni kalau boleh nak tinggal dengan mak ayah. Memang nanti kerja, HO nanti, sibuk dan penatnya bukan kepalang. Orang kata 2 hari sekali baru balik rumah. Takpelah, daripada 2 bulan sekali, atau 2 tahun sekali baru boleh tatap wajah mereka..Allah.. Usia mereka makin hari makin bertambah. Kesihatan mereka.. Aku hanya mampu bertawakal.. Doa yang tidak pernah aku lupa buat mereka ialah semoga mereka dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik selalu, dan semoga Allah bagi aku kesempatan untuk membalas jasa mereka ketika hayat mereka masih ada. Aku bersangka baik pada Allah, bahawa Dia menerima doaku.. kerana aku yakin janji Allah bahawa Dia sesuai persangkaan hamba-Nya terhadapNya. Allah, pada-Mu aku berserah, pada-Mu aku bertawakal..

Ayah,
Hepi birthday ayah! Selamat ulang tahun.. Semoga dikurniakan rezeki dan kesihatan yang baik selalu, kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, anak2 dan keturunan yang soleh solehah. Thank u so muchhh, for every single thing...
~ you raise me up, to more than I can be~
u are forever in our heart, love u always..
Semoga sentiasa dalam pemeliharaan-Nya, amiin..

Dan doaku lagi untumu ayah,

Ya Allah… hindarkan ayahku daripada segala kepayahan yang merungsingkan, pemikiran yang membingungkan dan pengalaman yg menyedihkan di sepanjang tahun2 yang akan datang ini. Kurniakan kepadanya keselamatan dalam pemeliharaan-Mu yang dapat melindungnya dari sebarang kejahatan, keburukan dan... kerunsingan. Ya Allah, panjangkan umurnya dalam keimanan, sihatkan tubuh badannya dengan kecemerlangan akal juga berikan dia kesenangan harta benda yang penuh keberkatan. Ya Allah, ampunkanlah segala kesalahannya, dan terimalah segala kebaikannya dan Rahmatilah kehidupannya dunia dan akhirat.. ameen.


Allah, Engkau juga menjadi saksi bahawa dirimulah ayah pada pandanganku satu-satunya lelaki zaman sekarang yang paling lembut hatinya terhadap isteri, anak-anak dan semua orang disekelilingnya. Allahuakbar, Subhanallah, itulah yang boleh aku ucap bila setiap kali melihat sendiri santunnya ayah.. Di saat dimarahi yang marahnya bukan biasa, ayah tetap lembut santun mengucap Astaghfirullah, dan kemudian beredar, atau ayah membalasnya dengan ayat-ayat yang berunsur jenaka sehingga yang memarahinya tadi tidak jadi marah malah ketawa dan ayah pun turut ketawa.. Allahuakbar.. Sungguh aku amat sangat bangga mempunyai seorang ayah yang sangat dan sangat penyabar. Kekagumanku pada akhlakmu, takqwamu, imanmu...hanya Allah menjadi saksinya. Ya Allah, andainya iman dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa..kan best. Tapi kami anak-anaknya, Astaghfirullah, saya sendiri malu dan kasihan kat ayah ada anak macam ni, yang tidak mewarisi sifat-sifat dan iman seperti ayah =( Aku bukan berlebih-lebihan memujimu ayah. Hanya orang yang mengenalimu sahaja boleh percaya kata-kata anakmu ini..

Ayah, keranamu, aku disini...perubatan. Berkat doamu ayah yang soleh, aku berjaya sampai ditahap ini. Walau diri terasa kerdil berbanding teman-teman lain, tapi aku tetap bersyukur kerana diberi izin Allah berkat doamu, untuk terus tabah dibidang yang mencabar ini.
Ayah, tidak mampu aku menulis setiap pengorbananmu ayah. Tapi aku berjanji, akan kukenang ia sepanjang hayatku...

-----------------------------------------------------------------------------
Aku ingin berkongsi...'Yang tidak bisa diucapkan oleh Ayah'.. airmata tak malu2 turun baca benda ni..

Biasanya, bagi seorang anak perempuan yang sudah dewasa, yang sedang bekerja diperantauan, yang ikut suaminya merantau di luar kota atau luar negeri,yang sedang bersekolah atau kuliah jauh dari kedua orang tuanya...Akan sering merasa rindu sekali dengan ibunya..Lalu bagaimana dengan AYAH?

Mungkin kerana ibu lebih sering menelefon untuk menanyakan keadaanmu setiap hari, tapi tahukah kamu, jika ternyata ayah-lah yang mengingatkan ibu untuk menelefonmu?

Mungkin dulu sewaktu kamu kecil, ibu-lah yang lebih sering mengajakmu bercerita atau berdongeng, tapi tahukah kamu, bahwa sekembalinya ayah dr bekerja dan dengan wajah lelah ayah selalu menanyakan pada ibu tentang khabarmu dan apa yang kau lakukan seharian?

Pada saat dirimu masih seorang anak perempuan kecil.Ayah biasanya mengajari putri kecilnya naik basikal .Dan setelah ayah mengganggapmu sudah boleh menunggangnya, ayah akan melepaskan roda bantu di basikalmu .Kemudian Ibu bilang : "Jangan dulu ayahnya, jangan ditanggalkan dulu roda bantunya", itu kerana ibu takut puteri manisnya akan terjatuh lalu terluka....

Tapi sedarkah dikau? Bahwa ayah dengan yakin akan membiarkanmu, menatapmu, dan menjagam umengayuh basikal dengan seksama kerana dia tahu puteri kecilnya PASTI mampu melakukannya.

Pada saat kamu menangis merengek meminta alat permainan yang baru, ibu menatapmu hiba.Tetapi ayah akan mengatakan dengan tegas : "Boleh, kita beli nanti, tapi tidak sekarang" Tahukah kamu, ayah melakukan itu kerana ayah tidak ingin kamu menjadi anak yang manja dengan semua tuntutan yang selalu dapat dipenuhi.

Saat kamu ditimpa sakit , ayah lah yang terlalu khawatir sampai kekadang sedikit membentak dengan berkata : "Sudah di beritahu! kamu jangan minum air sejuk!".Berbeza dengan ibu yang memperhatikan dan menasihatimu dengan lembut.Ketahuilah, saat itu ayah benar-benar mengkhuatirkan keadaanmu..

Ketika kamu sudah beranjak muda remaja..Kamu mulai menuntut pada ayah untuk mendapat keizinan keluar malam, dan ayah bersikap tegas dan mengatakan: "Tidak boleh!".Tahukah kamu, bahwa ayah melakukan itu untuk menjagamu? Kerana bagi ayah, kamu adalah sesuatu yang sangat - sangat luar biasaberharga..Setelah itu kamu marah pada ayah, dan masuk ke kamar sambil membanting pintu...

Dan yang datang mengetok pintu dan memujukmu agar tidak marah adalah ayah.Tahukah kamu,bahwa saat itu ayah memejamkan matanya dan menahan gejolak dalam batinnya, Bahwa ayah sangat ingin mengikuti keinginanmu, Tapi lagi-lagi dia HARUS menjagamu?

Ketika saat seorang teman lelaki mulai sering menelefonmu, atau bahkan datang ke rumah untuk menemuimu,ayah akan memasang wajah paling cool sedunia.... :') ayah sesekali menguping atau mengintip saat kamu sedang berbuall berdua di ruang tamu..Sedarkah kamu, kalau hati ayah merasa cemburu?

Saat kamu mulai lebih dipercaya, dan ayah melonggarkan sedikit peraturan untuk keluar rumah untukmu, kamu akan memaksa untuk melanggar jam malamnya.Maka yang dilakukan ayah adalah duduk di ruang tamu, dan menunggumu pulang dengan hati yang sangat khuatir dan bimbang.Dan setelah perasaan khuatir itu berlarut - larut.Ketika melihat puteri kecilnya pulang larut malam hati ayah akan mengeras dan memarahimu..Sedarkah kamu, bahwa ini kerana hal yang di sangat ditakuti ayah akan segera datang? "Bahwa puteri kecilnya akan segera pergi meninggalkannya"

Setelah lulus SPM, Ayah akan sedikit memaksamu untuk menjadi seorang Doktor atau Engineer. Ketahuilah, bahwa seluruh paksaan yang dilakukan ayah itu semata - mata hanya karena memikirkan masa depanmu nanti.Tapi ayah tetap tersenyum dan menyokongmu saat pilihanmu tidak sesuai dengan keinginan ayah.

Ketika kamu menjadi gadis dewasa.Dan kamu harus pergi kuliah dikota lain.ayah harus melepaskanmu di bandar.Tahukah kamu bahwa badan ayah terasa kaku untuk memelukmu? Ayah hanya tersenyum sambil memberi nasihat ini - itu, dan menyuruhmu untuk berhati-hati.Padahal ayah ingin sekali menangis seperti ibu dan memelukmu erat-erat.Yang ayah lakukan hanya menghapus sedikit air mata di sudut matanya, dan menepuk pundakmu berkata "Jaga dirimu baik-baik ya sayang".Ayah melakukan itu semua agar kamu KUAT....kuat untuk pergi dan menjadi dewasa.

Disaat kamu kesempitan wang untuk membiayai perbelanjaan semester dan kehidupanmu, orang pertama yang mengerutkan kening adalah ayah. Ayah pasti berusaha keras mencari jalan agar anaknya boleh merasa sama dengan teman-temannya yang lain.Ketika permintaanmu bukan lagi sekadar meminta alat mainan yang baru, dan ayah tahu ia tidak mampu memberikan apa yang kamu inginkan...

Kata-kata yang keluar dari mulut Ayah adalah : "Tidak.... Tidak boleh!" Padahal dalam batin Ayah, Ia sangat ingin mengatakan "Iya sayang, nanti ayah belikan untukmu".Tahukah kamu bahwa pada saat itu Ayah merasa gagal membuat anaknya tersenyum?

Saatnya kamu berjaya sebagai seorang sarjana. Ayah adalah orang pertama yang berdiri dan memberi tepuk tangan untukmu.Ayah akan tersenyum dengan bangga dan puas melihat "puteri kecilnya yang tidak manja berhasil tumbuh dewasa, dan telah menjadi seseorang" Sampai saat seorang teman Lelakimu datang ke rumah dan meminta izin pada ayah untuk mengambilmu darinya.Papa akan sangat berhati-hati memberikan izin..Kerana Ayah tahu.....Bahwa lelaki itulah yang akan menggantikan posisinya nanti.

Dan akhirnya....

Saat ayah melihatmu duduk di kerusi pelaminan bersama seseorang Lelaki yang di anggapnya mampu menggantikannya, Ayah pun tersenyum bahagia..Apakah kamu mengetahui, di hari yang bahagia itu ayah pergi kebelakang pentas pelaminan sebentar, dan menangis? Ayah menangis karena ayah sangat berbahagia, kemudian ayah berdoa....Dalam lirih doanya kepada Tuhan, Ayah berkata: "Ya Allah tugasku telah selesai dengan baik....Puteri kecilku yang lucu dan kucintai telah menjadi wanita solehah yang cantik....Bahagiakanlah dia bersama suaminya...rahmatilah kehidupan mereka Ya Allah"

Setelah itu Ayah hanya mampu menunggu kedatanganmu bersama cucu-cucunya yang sesekali datang untuk menjenguk...Dengan rambut yang telah dan semakin memutih....Dan badan serta lengan yang tak lagi kuat untuk menjagamu dari bahaya....Ayah telah menyelesaikan tugasnya....Papa, Ayah, Bapak, atau Abah kita...Adalah sosok yang harus selalu terlihat kuat...Bahkan ketika dia tidak kuat untuk tidak menangis...Dia harus terlihat tegas bahkan saat dia ingin memanjakanmu.Dan dia adalah yang orang pertama yang selalu yakin bahwa "KAMU MAMPU" dalam segala hal..

Ana mendapatkan notes ini dari seorang sahabat, dan mungkin ada baiknya jika ana berkongsinya kepada sahabat-sahabat ana yang lain.Yup, banyak hal yang mungkin tidak bisa dikatakan Ayah / Bapak / Papi kita...tapi setidaknya kini kita mengerti apa yang tersembunyi dibalik hatinya.

Wallahua'lam


----------------------------------------------------------------------

Allah, semoga Engkau perkenankan doa-doaku, demi ibu bapaku ya Allah.. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar..ameen.

Monday, June 15, 2009

Cukuplah ia sebagai peringatan...

Assalamualaikum wbt,

Tidak mampu untuk mujahadah browsing internet seminggu. Rasa macam terputus dengan dunia luar.. Tapi sebab nak surf jugak, kena tahan diri(disiplinkn diri huhu~) untuk surf 30 minit je. Dan di sini, ingin berkongsi sesuatu..

140609,
Semalam, saya terkejut diberitahu sahabat tentang pulangnya al-fadhil Syeikh Dr. Fathi Yakan ke rahmatullah. Saya yakin, sesiapa yang mengenali beliau pasti merasa sebuah kehilangan.Dunia Islam pasti amat merasainya. Rasa kehilangan seorang mujahid yang begitu banyak berjasa dalam dunia pentarbiyahan Islam. Begitu banyak jasa dan tenaga beliau disumbangkan dalam mempelopori fikrah gerakan Islam di dalam dunia Arab. Beliau juga banyak menyebarkan risalah dan tulisan yang berbentuk ideologi ke dunia Arab dan Islam sebagai panduan generasi-generasi kebangkitan Islam.

Siapa tidak kenal dengan buku terkenal beliau iaitu buku 'Apa Erti Saya Menganut Islam' atau 'Maza Yakni Intima'i Lil Islam'.
Ia antara buku harakah yang paling awal saya kenal yang membuatkan diri berjaya (alhamdulillah) menemui matlamat hidup yang sebetulnya... insyaAllah.
Buku ini (boleh download free di sini) terlalu banyak digunakan sebagai rujukan dalam usrah-usrah, dan banyak digunakan oleh ahli-ahli gerakan Islam sama ada di peringkat sekolah, universiti dan peringkat nasional. Beliau juga pengarang kepada lebih 30 buah buku dan sebahagiannya diterjemah ke pelbagai bahasa. Beliau juga pernah menjadi ahli parlimen Lubnan atas tiket gerakan parti politik Islam. Pemergian beliau bermakna hilang lagi seorang permata dalam dunia Islam.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya Rasulullah saw bersabda:
Di antara tanda-tanda hampir Kiamat ialah terhapusnya ilmu Islam, munculnya kejahilan, ramainya peminum arak dan perzinaan dilakukan secara terang-terangan.
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dari Abdullah bin Amr r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya Allah tidak akan melenyapkan ilmu pengetahuan secara sekaligus dicabut dari seluruh hamba-Nya. Tetapi diambil-Nya ilmu pengetahuan dengan mencabut nyawanya para alim ulama, sehingga jika tidak seorang ulamapun yang tertinggal, lalu orang-orang sama mengangkat pemimpin-pemimpin yang bodoh. Mereka ini jika ditanya, terus saja memberikan fatwa yang tidak berdasarkan ilmu pengetahuan yang benar. Jadi mereka itu tersesat dan pula menyesatkan.
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berita pemergian Ustaz Fathi Yakan sampai ketika belum pun surut lagi rasa terkejut dan sedih yang turut saya rasa atas pemergian seorang mujahid muda di Mesir, Muhammad Ammar bin Zulkifli, pelajar Malaysia jurusan perubatan tahun tiga Universiti Kaherah, pada 10 Jun lalu, kerana kemalangan jalan raya. Saya dapat khabar ini daripada sahabat yang sama sekolah dengan arwah.

Dan semalam, Zahra datang bermalam di rumah, ada berkongsi cerita sedikit sebanyak tentang arwah dan situasi teman2 di sana selepas mendapat berita kemalangan dan pemergian allayarham Ammar Zulkifli... kelahiran 1988, dan kata-kata 'trademark' arwah iaitu "Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat. Laksana anak-anak akhirat...melihat dunia dari jendela akhirat". - Blog allahyarham Ammar: Dalam Jiwa Hamba. MasyaAllah. Walaupun tidak mengenalinya, tapi saya yakin arwah seorang yang soleh.

Memetik kata-kata Ustaz Zaharuddin dalam entry 'Takziah atas pemergian yang pasti' : "Nabi s.a.w amat menggalakkan kita untuk menziarahi kubur dengan sasaran untuk lebih mengingati kematian. Bagi mereka yang tidak berpeluang untuk menziarahi kuburnya, ziarahilah blognya dan berdoalah serta ingatlah akan kematian itu pasti. Kematian itu menuntut PERSEDIAAN. Persediaan menuntut kepada ILMU, ilmu menuntut kepada AMAL, dan amal menuntut KEIKHLASAN".

Ini antara tulisan tentang arwah daripada sahabat2nya: a tribute for ammar sayang, Ammar, enta menyusahkan sahabat kemudian,dan bercerita tentang ammar.

Dan berita pemergiannya ini sampai ketika belum pun surut lagi kesedihan yang sangat dirasakan sahabat-sahabat MATRI atas kehilangan guru merangkap 'bonda'.. Dari tulisan dalam blog sahabat-sahabat matri tentang kembalinya bonda ke rahmatullah, dan juga dari cerita sahabat, saya turut sedikit sebanyak dapat merasakan kehilangan seseorang yang besar jasanya mendidik mentarbiyah anak bangsa. Apatah lagi pada mereka yang mendapat tarbiyah langsung daripada beliau...

Semoga Allah menempatkan mereka semua bersama para syuhada'. Ameen.

**********************************************************************************************************************
Berita ini semua seolah bertalu datang memberitahu untuk mengingatkan. Berita kematian, sungguh mengejutkan. Saya. Menyedarkan yang lena dan hanyut pada dunia. Mengubat kecewa dan duka hati pada dusta dan mungkir janji manusia. Melembutkan egois dan meleburkan amarah pada segala khilaf dan salah manusia. Menenangkan jiwa yang sesak pada dunia. Menginsafkan yang bersalut dosa. Mengetuk pintu taubat yang jika sebelumnya masih tertutup rapat.

Sungguh kematian itu suatu peringatan.. Ketika leka merancang rapi masa depan dan hari esok, yang padahal entahkan sampai entahkan tidak..sehingga terlupa pada kematian yang pasti datang. Sungguh kematian itu suatu peringatan, untuk menggunakan kesempatan yang masih diberi (malah berulang kali diberi-Nya) dengan sebaiknya. Peringatan buat diri ini yang sering leka dan alpa dengan dunia…

Mengingatkan kematian itu sungguh menggerunkan saya… Bukan takut mati, ingin sangat terutama tika terasa putus asa dan penat dengan dunia. Tapi teringatkan amalan sendiri, sungguh belum bersedia.. Sering terdetik, 'kalau aku mati sekarang, bekalan apa, amal apa yang akan dibawa…'. Jadual daily mutaba'ahnya masih banyak kosong.. Allah, mengingatkan kematian, terasa kerdil dan hinanya diri…terkenang dosa menggunung tinggi ='( terlintas juga, 'bagaimana keadaanku, bila dan di mana aku akan diambil-Nya'. Doa supaya diri masih diberi kesempatan untuk memohon ampunan-Nya, dan tidak mengulang kesilapan silam... Dan seketika terfikir, bagaimana boleh belum bersedia lagi, sedang ia suatu yang dijanjikan pasti tiba pada setiap yang bernyawa. Kalau untuk exam, bukan main... mesti usahakan diri untuk bersedia. Walhal itu manusia yang uruskan.. Boleh ditunda-tunda. Sedangkan malaikat Izrail, diundang atau tidak, datang tanpa menunda walau sesaat… Namun persediaannya?? Astaghfirullah...

***********************************************************************************************************************
“Perbanyaklah mengingat sesuatu yang melenyapkan semua kelazatan, iaitu kematian!” (HR. Tirmidzi)

Kematian mengingatkan bahawa waktu sangat berharga
Kematian mengingatkan bahawa kita bukan siapa-siapa
Kematian mengingatkan bahawa kita tak memiliki apa-apa
Kematian mengingatkan bahawa hidup hanya sementara
Kematian mengingatkan bahawa hidup begitu berharga

Seorang hamba Allah yang mengingat kematian akan senantiasa sedar bahawa hidup teramat berharga. Hidup tak ubahnya seperti ladang pinjaman. Seorang petani yang cerdas akan memanfaatkan ladang itu dengan menanam tumbuhan yang berharga. Dengan sungguh-sungguh. Petani itu khuatir, ia tidak mendapat apa-apa ketika ladang harus dikembalikan. Mungkin, inilah maksud ungkapan Imam Ghazali ketika menafsirkan surah Al-Qashash ayat 77,

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia…”

dengan menyebut,Ad-Dun-ya mazra’atul akhirah.” (Dunia adalah ladang buat akhirat)

Orang yang mencintai sesuatu takkan melewatkan sedetik pun waktunya untuk mengingat sesuatu itu. Termasuk, ketika kematian menjadi sesuatu yang paling diingat. Dengan memaknai kematian, bererti kita sedang menghargai erti kehidupan.

**********************************************************************************************************************
-Kematian...bukan berakhirnya sebuah kehidupan, tetapi permulaan sebuah kehidupan yang abadi-



"Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami. " (QS al-Anbiya' 21:35)

"..Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannya esok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sungguh Allah Maha Mengetahui, Maha Mengenal."
( QS Luqman 31:34)

"Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan."
(QS al-Jumu'ah 62:8)











Dan cukuplah kematian itu sebagai suatu peringatan..... buat saya dan kamu jua...




Monday, April 27, 2009

Siapa Aku


(Sebuah Puisi Biografi Syeikh Ahmad Yasin, 1938-2004)
beliau dibunuh oleh rejim zionis melalui tembakan dari helikopter.


Lahirku di Kampung Al-Jaurah,

Selatan Tebing Gaza, 1938 Masihiah,
Tercetus perang 1948 familiku berpindah,
Mengharung kaki menuju Ghazzah. (Gaza)

Tika asyik beriadah bersama teman,
Malang menimpa, aku terhumban,
Lumpuh seluruh badan,
Namun kutekad kekuatan,
Lumpuhku tidak bisa menghalang pergerakan,
Minda, fikiran, tadbir jua amalan...

Kutamatkan pengajian sekolah,
Kuteruskan ke Universiti Ain Syams, padah,
Setahun berlalu dan aku terpaksa berhenti,
Hati yang terhiris itulah,
Yang kubawa ke Mesir gagah,
Kukenal Ikhwan, sertai jamaah.

Di Palestin, akulah guru, mengajar tatatertib,
Berkhutbah di masjid, akulah khatib,
Akulah pengasas Majma' Islami,
Pada 70-an tekad bersemi.

1983, aku ditangkap dituduh,
Pengasas Majd Mujahidin pembunuh,
13 tahun penjara, mahkamah menyuruh,
Namun terbebas selepas bulan kesepuluh.

Kuasaskan lagi gerakan HAMAS,
Gerakan Penentangan Islamiah, kemas,
1987, HAMAS berdiri tegas!

Sekali lagi, ditangkap askar Yahudi,
Dihukum penjara seumur abadi,
Ditambah 15 tahun lagi,
Kerana mengasas HAMAS menggempa Yahudi!

Makin hari, kumakin lemah, di penjara,
Pandangan kananku hilang mutiara,
Mata kiriku kabur, terseksa didera,
Penyakitku kronik, dihantar ke Hospital Penjara.

Subuh 1 Oktober 1997 barakah,
Aku dibebas dengan janji payah,
Antara Jordan & Israel laknatullah,
Selepas serangan Khalid Masy'al tergagal, musnah.

Kusenyum, kulihat
Intifadah Aqsa, bangkitnya ummat,
Menentang, melawan Zionis penjajah laknat,
Hingga terbunuh jua tercedera berat.

Pagi, Malam Isnin aku bersolat sendiri,
Munajatku mohon ke hadrat Ilahi,
Agar ganjaran Syahid diberi di sisi,
Dan kuniat puasa di pagi hari.

Masjid, 22 Mac 2004 - Fajarnya,
Usai solat Subuh, tiada lama hanya,
Tika berjalan pulang, aduh sakitnya,
Tiada rasa nyeri, pulanglah,
Pulanglah ke hadrat Tuhanku, Allah,
Haruman syurgawi, rohpun terbanglah,
Duniaku, pisahlah,
Nyata kerananya dan kerana-Nya aku lelah...

Akulah Syeikh Ahmad Ismail Yasin!
Siapa kamu?
Apa yang kamu telah sumbangkan untuk agama Allah?


3 April 2004,
Hotel Fatamorgana,
Sweileh, Amman.

**********************************************************************************************

~ Mungkin ada yang pernah membacanya sebelum ini. Sekadar mengimbau kembali biografi dan secebis rentetan perjuangan beliau Syeikh Ahmad Yassin..walaupun telah separuh dekad pergi menemui-Nya, namun semangat perjuangan beliau tidak akan terpadam.. Moga Allah merahmati beliau dan menempatkan beliau di taman abadi sana. Ameen.
~ Moga lebih ramai 'Syeikh Ahmad Yassin' dilahirkan.
~ Sering tertanya sendiri apakah yang telah disumbangkan untuk agama Allah selama dilahirkan ke alam ini.
~ Moga kita antara generasi penerus perjuangan beliau..dalam lapangan kita sendiri..insyaAllah.

"Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat berjaga-jaga.” [QS at-Taubah 9: 122]



Allahu'alam.